Make your own free website on Tripod.com

 

UCAPAN DASAR
YANG DIPERTUA MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
SIDANG 2001/2002

Bismillahirrahmaanirrahim…
Assalaamu'alaikum w.b.t, salam sejahtera serta salam ukhuwwah kepada semua…..
Yang Berbahagia Dato' Prof. Madya Jamaludin bin Mohaiadin, Timb. Naib canselor Hal Ehwal Pelajar, Yang berusaha Prof. Ahyaudin Ali, Timb. Naib Canselor Pembangunan dan Penyelidikan, Yang berusaha Prof. Syed Ahmad Hussein, Timb. Naib Canselor Hal Ehwal Akademik, yang dihormati pegawai-pegawai kanan universiti, dekan-dekan pusat pengajian, penggawa-penggawa desasiswa, barisan exco Majlis Perwakilan Pelajar Sidang Akademik 2001/2002, pimpinan-pimpinan pelajar, dan seterusnya hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.
Alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan ahli keluarga baginda serta para sahabat dan tabiin. Atas keredhaan dan keizinan-Nya, maka akhirnya kita dapat jua berkumpul dan berijtima' dalam satu majlis yang penuh makna iaitu Malam Mesra MPP Bersama Warga Kampus sempena dengan Perutusan Khas YDP MPP untuk sidang akademik 2001/2002. Majlis ini diharapkan bakal mencapai objektif dan matlamatnya iaitu sebagai pencetus ke arah mewujudkan hubungan yang erat dan padu antara MPPUSM dengan seluruh warga kampus, khususnya bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan yang lepas dalam konteks dunia kemahasiswaan kini.

Warga kampus yang dikasihi,
Selaku warga mahasiswa yang berdaya intelek, kita perlu sedar bahawa hayat kita di Minden ini tidak lama. Jesteru itu, rebutlah peluang yang ada dan isilah ruang-ruang yang tersedia dengan sebaik mungkin. Di sinilah merupakan arena perjuangan bagi kita selaku mahasiswa untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman dalam merintis jalan menghadapi hari muka. Berjaya atau gagal kita pada hari esok, bisa dicerminkan melalui usaha kita pada hari ini. Dengan berbekalkan kepercayaan yang diberikan, kami barisan MPPUSM untuk sidang yang baru ini, akan cuba mengemudikan bahtera yang kita sama-sama naiki di lautan ilmu ini dalam merentasi arus dan gelombang pelayaran yang pastinya penuh dengan ranjau kepayahan dan kesukaran. Jesteru, kami mengharapkan sokongan semua untuk sama-sama berpadu tenaga menuju satu matlamat yang sama iaitu ke perairan kegemilangan.

Siswa siswi sekalian,
"Intelektual ialah seseorang yang merasakan kepedihan apabila dia melihat yang tidak benar ……"
(Ibnu Khaldun)
Setiap daripada kita harus menerima hakikat bahawa alam kemahasiswaan yang kita lalui pada hari ini tidak lagi sama dengan apa yang dirasai oleh abang-abang dan kakak-kakak kita dahulu. Saban hari, ada saja masalah-masalah dan isu-isu baru timbul, menyebabkan kita sebagai mahasiswa terkadang berasa tertekan dan ditekan. Keterbukaan mahasiswa/i dalam mengemukakan pandangan serta penilaian dari perspektifnya sendiri berhubung dengan sesuatu masalah, perlulah diberi perhatian oleh semua pihak dan seharusnya mendapat pertimbangan yang sewajarnya. Saya mewakili MPPUSM ingin mengajak dan menyeru pimpinan-pimpinan pelajar melalui organisasi mahupun individu perseorangan agar sentiasa bersedia dalam mengutarakan cadangan atau kritikan membina demi kepentingan bersama. Segala idea yang dicanai perlu diajukan melalui perbincangan yang lebih ilmiah berpandukan kewarasan akal dan juga daya intelek yang dimiliki, contohnya melalui saluran ruang-ruang organisasi yang dibenarkan. Pihak MPPUSM sentiasa bersedia menjadi perantara dalam membawa suara mahasiswa/i ke peringkat atasan. Jesteru, saya mengharapkan agar kita dapat bersatu hati serta menggabungjalinkan antara aspirasi , hak serta kepentingan bersama agar kebajikan mahasiswa/i terus terbela secara menyeluruh.
Dalam perutusan pada kali ini, saya ingin menyeru para hadirin yang hadir untuk sama-sama menghayati misi serta agenda yang akan dibawa oleh MPPUSM sidang ini. Semoga natijahnya kelak, akan lahir generasi ilmuan dan para graduan yang berketrampilan dan bersifat holistik yang bakal mencorakkan masa depan agama, bangsa dan negara.

Siswa siswi yang dikasihi,
Motto MPPUSM;
"Menjana Budaya Intelek ke Arah Aspirasi Global"
Tahun ini kepimpinan MPPUSM beralih arah dalam satu konsep dan mekanisme baru dalam bergerakkerja. Jika sidang lalu konsep "kebersamaan" menjadi agenda utama, namun MPPUSM sidang ini menekankan pada konsep "budaya intelek". Ini merupakan satu kerangka gerak kerja kami dalam menyahut hasrat universiti menjadikan USM sebagai sebuah kampus sejahtera seterusnya mengantarabangsakan universiti ini di pentas dunia.
Konsep intelek yang ingin kami bawa merangkumi pelbagai aspek serta melihat dari segenap sudut iaitu merangkumi "kepimpinan, gerakkerja, akademik, perhubungan, emosi dan rohani serta fizikal dan mental . Semua ini kami serapkan melalui kewujudan 8 biro yang ditubuhkan iaitu Biro Kebajikan, Biro Helsis, Biro Penerangan, Biro Perhubungan Antarabangsa, Biro Integrasi dan Kebudayaan, Biro Sukan dan Rekreasi,Biro Penyelidikan dan Pembangunan serta Biro Akademik dan Kerjaya. Segala matlamat yang disasarkan akan diinterpretasikan melalui 13 projek yang telah dirancang sepanjang sidang. Kombinasi motto "Menjana Budaya Ilmu Ke Arah Aspirasi Global" merupakan gabungan empat halatuju utama USM sebagai transformasi ke peringkat dunia iaitu membina ilmu dan budaya intelek, pintar berkhidmat sambil bermasyarakat, mempamerkan kepimpinan yang cemerlang dan mencapai tanda aras antarabangsa.
Jesteru dalam meletakkan USM sebagai salah sebuah universiti yng tersohor di arena antarabngsa maka kami MPPUSM 2001/2002 sebulat suara berpegang kepada motto "Menjana Budaya Intelek Ke Arah Aspirasi Global".

Siswa siswi sekalian,
MPPUSM pada sidang ini meneruskan kesinambungan MPP sidang lepas dalam membawa hala tuju organisasi ini melalui lima dasar utama Piagam Pelanggan MPPUSM 2001/2002. Piagam Pelanggan ini akan menjadi rujukan utama kami dalam menjalankan amanah yang begitu besar ini di sepanjang tempoh perlantikan kami.
Piagam Pelanggan MPPUSM :
1) Memperjuangkan hak-hak serta kepentingan mahasiswa
2) Menyelesaikan permasalahan mahasiswa melalui aduan-aduan yang diterima serta menjaga kebajikan seluruh warga kampus khususnya para mahasiswa/i
3) Memantapkan sahsiah dan pembangunan mahasiswa daripada aspek akademik dan kepimpinan
4) Merealisasikan fungsi mahasiswa sebagai suara kepada masyarakat
5) Menyatu padukan seluruh warga USM demi kepentingan bersama
Berlandaskan motto Meneraju Budaya Intelek Ke Arah Aspirasi Global inilah, arah hala tuju MPPUSM bagi sessi 2001/2002 akan bergerak.

Warga kampus yang dikasihi sekalian,
Pengantarabangsaan Majlis Perwakilan Pelajar.
Selaras dengan halatuju universiti pada tahun ini yang menuju ke arah pengantarabangsaan, MPPUSM sebagai badan tertinggi kepada mahasiswa USM menyokong penuh dan turut sama menjadikan pengantarabangsaan ini sebagai salah satu agenda MPPUSM bagi sidang ini. Matlamat pengantarabangsaan di peringkat MPPUSM adalah untuk menaikkan lagi nama dan imej Universiti Sains Malaysia di persada dunia secara global di lapangan aktiviti dan kepimpinan pelajar. MPPUSM berpendapat bahawa pengantarabangsaan ini bukan difokuskan kepada usaha menaikkan nama dan imej Universiti Sains Malaysia sahaja, tetapi turut melibatkan usaha-usaha melahirkan para pelajarnya yang bertaraf antarabangsa, yang mana mampu menjana pertukaran teknologi dan budaya pelajar yang positif di antara pelajar. Mahasiswa USM perlu keluar dari kepompong dan terbang sebagai rama-rama yang membawa imej universiti di persada antarabangsa. Alangkah indahnya , sekiranya kita mampu untuk mengharumkan nama taman ilmu dan budi ini dengan wangian kejayaan yang kita perolehi . Sehubungan dengan itu, MPPUSM melalui Biro Perhubungan Antarabangsa sedang merancang untuk mengadakan satu "Seminar Antarabangsa" yang akan menonjolkan kualiti kepimpinan mahasisiwa USM. Keuntungan yang kami harapkan daripada projek ini ialah pertukaran idea di antara pelajar USM dengan pelajar luar yang pastinya akan mengangkat martabat universiti ini ke persada antarabangsa. Melalui unit Keraian, Biro Perhubungan Antarabangsa, MPPUSM akan cuba memberikan persepsi yang terbaik mengenai imej Universiti Sains Malaysia kepada mana-mana pihak yang datang melawat kampus. Pastinya, kehadiran mereka ke USM ini akan menjanjikan keuntungan kepada kita semua. Pada masa yang sama, kita akan cuba berkongsi pandangan dan pendapat dengan mereka, terutamanya tentang budaya intelek di kalangan mahasiswa/i dalam menghadapi arus globalisasi yang semakin mencabar kini. Konsep "win-win situation" perlu di praktikkan seboleh mungkin, demi kebaikan bersama.

Warga kampus yang dihormati,
Kebajikan mahasiswa/i : Agenda yang belum selesai
Ingin ditegaskan di sini bahawa MPPUSM kini, akan menitikberatkan sebarang perkara yang mempunyai kaitan dengan kebajikan mahasiswa/i Universiti Sains Malaysia. Berpaksikan iltizam yang telah di nyatakan, MPPUSM membina satu pasukan yang mantap dan prithatin bagi menyelesaikan permasalahan yang dialami oleh siswa/i. Dengan cogankata "masalah anda, masalah kami" , ahli Biro Kebajikan MPPUSM akan mengadakan kerjasama yang menyeluruh bersama-sama jabatan-jabatan di USM khususnya Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dan Majlis-Majlis Penghuni Desasiswa dalam menyelesaikan masalah pelajar. Langkah pertama yang membuktikan bahawa kami bukan berkata kosong ialah melalui isu 'penutupan pintu pagar selepas jam 12 tengah malam' iaitu kami telah mengadakan perbincangan dengan pihak JHEP, bersama-sama pimpinan desasiswa dan anak negeri. Ini telah menunjukkan bahawa wujudnya usaha murni kami untuk menjadi wasilah penghubung antara mahasiswa/i dengan pihak pentadbir universiti .
Bagi memenuhi hasrat tersebut, Biro Kebajikan akan menyediakan pelbagai saluran kepada pelajar bagi mengadukan masalah mereka untuk tindakan MPPUSM seperti pembukaan Kaunter Aduan di foyer DTSP atau foyer perpustakaan satu. Malah, exco biro ini juga akan mengadakan perhubungan yang lebih erat dengan Biro Kebajikan Majlis Penghuni Desasiswa dan Pertubuhan Pelajar Tanpa Asrama (PETAS) bagi memastikan bukan sahaja kebajikan siswa/i yang tinggal di desasiswa terjaga, tetapi juga mereka yang menetap di luar kampus . Saluran-saluran yang telah di wujudkan oleh kepimpinan MPP yang lalu akan diteruskan kerana terbukti ia berkesan malah ianya akan dipertingkatkan supaya lebih efektif untuk warga kampus. Malah para pelajar boleh berjumpa terus dengan mana-mana exco MPPUSM di pusat pengajian masing-masing pada bila-bila masa. Sejajar dengan ketinggian teknologi kini, kami juga menyediakan konsep e-aduan dengan menerima sebarang aduan dan cetusan melalui homepage dan elektronik email. Lantaran itu, kami benar-benar berharap agar tidak akan kedengaran lagi suara-suara komen daripada pelajar USM yang menyatakan kesukaran untuk mengadu masalah mereka kepada ahli MPPUSM. Dengan berkonsepkan "duduk sama rendah, berdiri sama tinggi" kepimpinan MPPUSM sesi ini manginginkan satu hubungan mesra di antara kami selaku pemimpin dan warga kampus sebagai rakyatnya. Untuk itu, kami menyeru kepada semua warga kampus untuk mengorak langkah bersama kami dalam isu kebajikan mahasiswa.

Warga kampus sekalian,
Salah satu masalah kebajikan yang paling ketara kepada mahasiswa/i USM adalah berkaitan dengan kewangan. Walaupun semua pihak menyedari akan peri pentingnya pengurusan kewamgan yang baik, namun bukan semua yang berjaya melakukannya. Masih terdapat di kalangan mahasiswa/i yang terhimpit oleh krisis kewangan, terutamanya apabila mereka terlibat dengan perkara yang tidak diingini seperti kemalangan yang menimpa keluarga. Walaupun kita sedia maklum pihak universiti telah menyediakan pelbagai jenis bantuan kewangan kepada para pelajar, namun tidak ramai yang menggunakannya. Hal in disebabkan, kebanyakan mahasiswa/i beraggapan mereka akan berdepan dengan prosedur dan birokrasi yang ketat serta mengambil masa yang lama. Menyedari hakikat ini, maka MPPUSM pada sidang ini akan berusaha sedaya mungkin untuk mempermudah kesulitan yang dihadapi oleh mahasiswa/i dalam mendapatkan bantuan daripada pihak universiti. Isu pinjaman PTPTN misalnya, telah menimbulkan pelbagai permasalahan dan kesulitan, kami di MPPUSM akan cuba membantu mana-mana pihak terutama para pelajar, JHEP, dan pihak PTPTN sendiri bagi menyelesaikan masalah ini.
Peningkatan jumlah pelajar USM yang agak tinggi saban tahun kadangkala menimbulkan kesulitan di kalangan pelajar. Ini kerana infrastruktur yang terdapat di universiti kebanyakannya hanya mampu menampung pelajar yang lebih kecil bilangannya daripada sekarang. Tambahan pula, nisbah jantina antara pelajar yang tidak seimbang juga menimbulkan beberapa kesulitan terutama kepada jantina majoriti. Kami akan bertindak sebagai jambatan bagi membawa sebarang masalah dan cadangan pelajar seperti penambahan lampu jalan di sekitar desasiswa, 'water cooler' di sekitar kampus dan penambahbaikkan kualiti kebersihan tandas di desasiswa-desasiswa kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab di universiti ini. Harus diingatkan di sini bahawa permasalahan berkaitan dengan kewangan dan keselesaan tempat belajar sememangnya turut mempengaruhi tahap pencapaian akademik pelajar. Justeru itu, ia adalah perkara yang perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang telah dipertanggungjawabkan untuk menanganinya.

Warga Kampus yang dihormati,
BIRO HAL EHWAL SISWI (HELSIS)
Dalam arus pembangunan yang pesat dewasa ini , tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan idea dan tenaga golongan majoriti ini kian diperlukan. Justeru, bagi golongan mahasiswi di gelanggang menara gading ini segala-galanya bermula dalam usaha untuk membentuk jati diri mahasiswi yang berakhlak mulia serta berketrampilan dalam semua aspek dan seiring dengan kecemerlangan dalam pencapaian akademik.
Sehubungan itu, Biro Helsis sebagai mewakili golongan mahasiswi dalam pertubuhan Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUSM) sidang 2001/ 2002 ini cuba untuk mewujudkan hubungan rapat antara Biro Helsis dengan mahasiswi. Biro Helsis bersama-sama dengan mahasiswi akan sama-sama menggarap kredibiliti dan kepimpinan mahasiswi selaras dengan usaha membina keperibadian berasaskan nilai-nilai murni sesuai dengan ciri-ciri seorang mahasiswi yang cemerlang. Dalam pada masa yang sama, Biro Helsis akan cuba memastikan kebajikan dan hak-hak mahasiswi terbela agar suasana persekitaran yang selesa dan sejahtera dapat diwujudkan.
Pada sidang kali ini, Biro Helsis telah merancang beberapa projek dan aktiviti yang selaras dengan Visi dan Misi yang cuba diketengahkan pada sidang ini. Justeru berhubung dengan permasalahan yang berlaku baru-baru ini seperti isu pintu pagar, keselamatan golongan mahasiswi tetap diambil perhatian, supaya langkah-langkah keselamatan yang diambil ini dapat memastikan keselamatan mahasiswi terjamin.

Selain itu juga, isu etika pemakaian yang mula dikuat kuasakan baru-baru ini telah membangkitkan peranan HELSIS untuk menyebar luaskan etika ini dikalangan warga kampus khususnya golongan siswi . Ini kerana etika pemakaian ini sedikit sebanyak dapat mencerminkan nilai kesopanan yang sepatutnya ada pada seorang mahasiswi yang intelek dan berketrampilan .
Sehubungan itu, diharapkan segala perancangan projek dan aktiviti yang dirancangkan ini akan dapat memberi banyak manfaat kepada golongan siswi khususnya dan warga kampus yang lain amnya. Sokongan dan kerjasama dari anda semua amat diharapkan kerana Biro Helsis tidak akan dapat pergi jauh untuk mencapai matlamatnya tanpa sokongan dan kerjasama daripada anda semua.


Siswa siswi sekalian,
Kebudayaan, tanda ketamadunan bangsa.
Budaya adalah satu perkara yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan setiap masyarakat global. Hal ini kerana budaya merangkumi cara hidup manusia. Pendek kata, budaya ialah identiti kepada sesuatu bangsa yang seterusnya membentuk ketamadunannya. Namun dewasa ini, kita seakan memandang kebudayaan hanya melalui hiburan murahan yang hanya memperdagangkan rentak tari yang mengalpakan atau pesta keseronokkan yang langsung tidak memberikan sumbangan kepada fikriah dan rohani insan. Sesungguhnya, entiti budaya dan integrasi adalah mekanisme yang cukup indah dan murni jika digabungkan malah menjadi pakej menawan dalam memacu kecemerlangan negara. Namun adalah malang jika ia disalah tafsir mengikut akal golongan tertentu yang menterjemahkannya menjadi satu perkara yang kadangkala bertentangan dengan budaya kita sendiri. Dalam konteks ini, kita di Universiti Sains Malaysia, kebudayaan yang kita mesti tonjol dan amalkan mestilah berasaskan kepada nilai keintelektualan, namun tidak semestinya melaui medium hiburan. Penonjolan budaya mestilah menghasilkan sikap hormat-menghormati di antara kaum dan yang pentingnya, mestilah tidak melanggar norma-norma masyarakat Timur dan agama khususnya. Dalam situasi sekarang yang mana pelbagai pihak bercakap tentang keperluan untuk kembali kepada agama, kita kaget kerana akan terdapat pihak-pihak tertentu yang membuat tafsiran sendiri yang dibuat atas dasar keintelektualan tanpa merujuk kepada mereka yang arif dalam bidang agama ini terutama agama Islam.
Di peringkat MPPUSM, sebagai isyarat bahawa kita ingin sama-sama terlibat dalam pengembangan kebudayaan yang berkiblatkan kepada keintelektualan, Biro Integrasi dan Kebudayaan merancang untuk menzahirkan ketulusan budaya dan perpaduan ini dalam FESTIVAL KESENIAN RAKYAT. Melalui projek ini, MPPUSM ingin memberikan kelainan dalam mencorakkan rentak budaya bangsa yang mana warisan pelbagai kaum akan dikombinasi dan digabungkan menerusi budaya digital. Selaras dengan temannya, 'mengangkat seni warisan bangsa seiring wacana global'- pelbagai projek telah disusun dengan teliti agar budaya yang diperjuangkan itu mampu memperlihatkan nilai intelektualnya dalam usaha membentuk budaya bestari untuk tatapan warga dunia. Segala khazanah pusaka yang berharga dari setiap kaum dan negeri di Malaysia akan disatukan dan pada masa yang sama menobatkan ketinggian nilai budaya ini bersama sentuhan teknologi digital. Pertandingan persembahan multimedia antara desasiswa yang bertemakan 'USM: mewarisi kegemilangan budaya, menyinari dunia futuristik', dijangka akan memberi pembaharuan dalam arena budaya USM. Buat pertama kalinya, keindahan budaya yang pelbagai akan dipersembahkan secara meriah hanya melalui hujung jari. Pancaran kegemilangan bertunjangkan sains dan teknologi akan menjadi pukauan kepada seluruh anak bangsa yang menjadi pewaris kegemilangan citra pimpinan bestari. Inilah inovasi yang cuba diterapkan dalam mengharmonikan budaya dan integrasi. Kampus sejahtera tidak akan bermakna jika kedua-dua unsur ini diabaikan oleh minda dan jiwa yang tertutup serta jumud dalam menilai ketamadunan budaya dan intergasi bangsa. Perkembangan ini diharapkan juga mampu menonjolkan imej MPP USM sebagai cetusan suara siswa yang sentiasa menyokong kemajuan pelbagai bidang tanpa meninggalkan etika kemahasiswaan. Dalam erti kata yang lain , Konsep kebudayaan yang diketengah itu tidak tergelincir dari landasan agama dan nilai kemasyarakatan perlulah dihidupkan semula dalam sanubari mahasiswa/i USM agar ia "tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan" .

Warga kampus sekalian,
Kerohanian
Kampus kita dicorakkan dengan pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang agama. Setiap agama mempunyai corak dan budaya yang unik dan tersendiri. Menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli keluarga yang besar ini seharusnya memiliki budaya toleransi dan hormat-menghormati terhadap penghayatan dan pengamalan agama masing-masing. Setiap agama dan ideologi menuntut setiap penganutnya mengamalkan amalan yang baik dan meniggalkan perkara yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu dan masyarakat. Matlamat untuk membina kampus sejahtera akan tercapai seandainya setiap mahasiswa mengamalkan keseluruhan tuntutan agama masing-masing. Saya percaya bumi minden ini mampu melahirkan insan yang bersakhsiah tinggi yang mana akan membawa kepada keharmonian bukan sahaja kampus ini malah negara yang kita cintai.
Namun realiti yang berlaku kini adalah sebaliknya. Program-program yang dilaksanakan lebih menjurus kepada hiburan semata-mata tanpa meneliti terlebih dahulu samada ianya menepati konsep keintelektualan ataupun tidak. Sepatutnya mana-mana program atau projek yang hendak dirancang perlu mengambil kira aspek-aspek ilmu dan pendidikan sealri dengan status kita sebagai golongan intelekdan terpelajar. Progaram-program yang berbentuk hedonisme atau budaya mencintai hiburan terus menular dan berakar dalam sanubari kehidupan warga kampus ini. Buktinya dapat dilihat berdasarkan kecenderungan mahasiswa yang menghadiri program yang bersifat ilmiah dan intelek agak kurang jika dibandingkan dengan program-program hiburan. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah pusat pengajian tinggi seperti USM yang mengagungkan aspek ilmu dan budi. Dalam suasana kampus pada hari ini, kita dapati jatidiri serta nilai-nilai budaya timur yang menjadi pegangan kita sekian lama semakin longgar. Tingkahlalaku yang tidak senonoh dan tergelincir dari tatasusila bangsa seolah-olah menjadi suatu rutin atau kebiasaan bagi sesetengah mahasiswa/i USM. Ini jelas menunjukkan bahawa ianya sudah tersimpang jauh dari amalan dan tuntutan agama. Budaya membonceng motosikal siswa-siswi tanpa ikatan yang sah serta perlakuan berdua-duaan sehingga melewati batas-batas agama haruslah dijauhi serta ditangani secara serius. Tindakan tatatertib seharusnya diambil agar ianya tidak berterusan dan menjadi budaya di kalangan masyarakat kampus. MPPUSM ingin mengajak semua persatuan-persatuan terutamanya persatuan keagamaan untuk mengorak langkah bersama sebagai pencetus kepada perubahan ini. Dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang menitikberatkan penghayatan agama sebenarnya mampu melahirkan mahasiswa/i yang mempunyai peribadi yang tinggi yang berpacakkan agama dan budaya.

Rakan siswa sekalian,
Cukup sekadar itu, akhir bicara, saya mewakili Majlis Perwakilan Pelajar sidang 2001/02 menyeru mahasiswa/i untuk sama-sama membangun dan membina kecemerlangan akademik, sahsiah dan pribadi dalam melahirkan mahasiswa berdaya saing di peringkat global. Sesungguhnya kami penuh sedar dan faham, bukan sedikit amanah yang terpikul dan bukan ringan beban ditanggung. Duduknya kami disini adalah atas dasar kepercayaan yang diberikan oleh rakan siswa/i, justeru itu MPP sidang ini akan terus menjadi wadah dan suara kepada mahasiswa/i dalam melahirkan pandangan yang dilontar atas dasar rasional tanpa mengetepikan tuntutan pendirian . Atas dasar keterbukaan dan kebersamaan, MPPUSM sebenarnya milik semua dan membawa aspirasi setiap antara kita. Maka menjadi tanggungungjawab bersama memperbaiki kepincangan andainya wujud, dan saling memperteguh jika dirasakan rapuh. Saya kira cukuplah amanat ini sampai di sini. Moga bicara ini nokhtahnya bukan di sini cuma, namun yang terlebih penting adalah tindakan kita untuk mengupaya dan menterjemah. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada hadirin dan hadirat yang sabar mendengar ucapan dasar ini. Semoga Allah memberkati perhimpunan kali ini, dan menjadi saksi komitmen kita kepada kepada perjuangan anak bangsa dan marilah kita bertawakal kepada Allah S.W.T.

"MENJANA BUDAYA INTELEK KE ARAH ASPIRASI GLOBAL"

ke halaman utama

©2002 Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.