ISU PINTU PAGAR USM (SUNGAI DUA) SELEPAS JAM 12 TENGAH MALAM

 

Sejak penubuhan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) sidang 2001/2002, matlamat utama MPPUSM ini ialah untuk menjaga kepentingan dan kebajikan mahasiswa-mahasiswi secara keseluruhannya. Penekanan ke atas isu-isu kebajikan pelajar timbul dari kesedaran tanggungjawab dan keprihatinan pihak MPPUSM untuk terus berbakti demi pelajar dan universiti tercinta.

Salah satu isu yang timbul baru-baru ini ialah isu pintu pagar USM yakni pintu Sungai Dua selepas jam 12 tengah malam. Peraturan baru tentang pengisian borang keluar masuk melalui pintu pagar USM dari Sungai Dua selepas jam 12 tengah malam telahpun dikuatkuasakan mulai 4 Disember 2001 dan telah dilaksanakan lebih dari sebulan. Usaha pihak Universiti untuk menjaga keselamatan pelajar dalam kampus adalah disambut baik oleh semua pihak terutamanya oleh MPPUSM. Langkah ini telah menunjukkan keprihatinan pihak Jabatan HEP terhadap kebajikan dan keselamatan pelajar

Walaubagaimanapun, pelaksanaan peraturan ini telah menimbulkan kegetiran dalam kalangan pelajar kerana langkah pelaksanan yang kurang efisien untuk menjamin keselamatan pelajar mahupun dalam mengenalpasti identiti pelajar. Pelbagai masalah telah timbul dan aduan mengenai perasaan dan pandangan tentang pelaksanaan peraturan ini telah diutarakan oleh semua pihak, khususnya pihak pelajar.


Dengan itu, MPPUSM telah mengambil satu langkah reaktif dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Penyelidikan Isu Pintu Pagar untuk mengkaji permasalahan dan untuk mencari alternatif-alternatif lain yang lebih bersesuaian. Satu kajian telah dijalankan secara rawak kepada warga kampus USM untuk mendapatkan pandangan yang menyeluruh mengenai isu berkenaan.

Terdapat banyak masalah dan kesulitan yang dialami oleh pihak pelajar berikutan isu ini. Antara kesulitan yang dihadapi oleh para pelajar adalah seperti berikut:-

  • Langkah mengisi borang menyebabkan berlakunya pembaziran masa , kertas , wang dan tenaga. Hal ini kerana pelajar terpaksa mengambil masa yang panjang untuk beratur dan mengisi borang. Tambahan pula , borang yang diisi tidak diambil tindakan yang sewajarnya .
  • Tempat letak kenderan yang sempit turut menyebabkan kesesakan lalulintas di kawasan pintu pagar. Pelajar tidak dapat tempat untuk meletak kenderaan mereka. Akibatnya , kenderaan terpaksa berhenti di tepi jalan sempit dan mengakibatkan kesesakan.
  • Sistem pengisian borang ini tidak dapat menjamin keselamatan pelajar . Keberkesanan peraturan tidak terjamin kerana orang luar masih bebas masuk ke kampus sebelum jam 12 tengah malam.

Hasil tinjauan dan kajian kami juga turut menghasilkan beberapa kesan-kesan yang ketara. Antaranya ialah :

  • Kesesakan di kawasan pintu pagar menampakkan Universiti ini dalam keadaan kelam kabut dan tidak teratur.
  • Perkara ini telah menjadi satu alasan untuk pelajar luar kampus tidak terlibat dalam aktiviti kampus. Maka , pelajar luar kampus telah terabai kepentingan mereka dalam segala perancangan universiti.
  • Pelajar luar kampus tidak dapat mengadakan perbincangan kumpulan dengan pelajar berasrama .
  • Pelajar tidak sempat untuk menyiapkan tugasan dan projek-projek akademik di kafe siber dan tidak dapat mengakses internet selepas 12 tengah malam.
  • Pengawal keselamatan hanya tertumpu di kawasan pagar dan mengabaikan keselamatan di sekitar kampus.

Daripada kajian yang telah dijalankan dan juga perbincangan antara exco-exco Majlis Perwakilan Pelajar, pihak MPP telah mengemukakan beberapa cadangan dan pendapat tentang jalan penyelesaian terhadap masalah ini yang boleh diberi pertimbangan oleh pihak Jabatan hal Ehwal Pelajar USM. Pihak MPP memberi segala sokongan dan kerjasama kepada pihak Timbalan Naib Canselor (HEP) untuk mencari jalan pelaksanaan yang lebih efisien lagi disamping menjaga kebajikan pelajar.

ke halaman utama

©2002 Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.